Dua tiga hari ini, dia rasa penat sangat. Betul-betul tak larat. Nak bawa badan pun rasa tak larat. Selera makannya betul-betul sudah hilang. Nak katakan dia sedang demam, badan tak pula panas. Nak kata dia sedang berdiet, dia memang bukan dalam proses diet pun.
Semalam ketika memasak makan tengahari untuk dia dan suami. Naik lembik dia muntah-muntah di dapur, sampai naik pelik Zaid melihatnya.
"Iman tak sihat?" soal Zaid. Iman mengangguk.
"Dua tiga hari ni badan rasa tak sedap. Hari ini yang melarat sangat. Bau wap nasi dalam rice cooker tu pun dah sampai nak muntah-muntah macam ni. Selalunya okay je pun."
"Salah makan tak sayang?"
Iman tidak menjawab. Sekadar mengangkat bahu tanda dia sendiri tidak tahu. Tapi apa saja yang dia makan semalam? Nak kata dia sedang keracunan makanan, tak ada pula dia berulang-alik ke tandas. Cuma badannya rasa sedikit lemah dan tiba-tiba saja hari ini dia muntah-muntah.
"Kita pergi klinik je la... check?" ajak Zaid. Laju saja kepalanya menggeleng ke kiri dan ke kanan.
"Tak payah la... Sikit je ni pun. Nanti-nanti legalah..."
"Kalau tak lega?"
"Kalau tak lega baru kita ke klinik. Lagi pun dah malam sangat dah ni bang." Jawab Iman yang sekadar melihat Zaid mengambil alih tugas-tugas memasak di dapur.
"Abang... Iman ke ruang tamu dulu?" pinta Iman. Zaid yang sedang menumis bawang dan sedikit rempah ratus untuk di masak kari ikan menoleh.
"Kenapa? Rasa mual?"
Mengangguk. "A'a.. rasa mual. Loya semacam bau masakan ni. Perut ni rasa tak sedap..."
"Pergilah rehat. Siap karang abang panggil." ujar Zaid sambil memerhatikan Iman bergerak ke ruang tamu.
Pelik! Dia sendiri tak faham kenapa tiba-tiba saja dia tak sedap badan begini. Takkanlah mengandung kot? Desis Iman sendiri. Dalam duduk menunggu Zaid siap memasak akhirnya dia tertidur di sofa. Dia hanya tersedar saat Zaid mengoncangkan tubuhnya. Terpisat-pisat bangun.
"Makan jom? Abang dah siap masak." ajak Zaid. Iman mengangguk. Sebelum melangkah ke bilik air mencuci muka dan menggosok gigi.
"Baru saja semulut dua nasi disumbat ke dalam mulut, perutnya sudah mula meragam. Rasa sebu tiba-tiba. Hilang selera makan terus."
"Kenapa tak makan?" soal Zaid. Iman memanggungkan wajah dari mengadap pinggan.
"Tak lalu.. tekak rasa tak sedap." Adu Iman.
"Makanlah sikit. Karang sayang tak ada tenaga."
"Tak bolehlah bang. Kalau makan juga, karang Iman muntah lagi." Adu Iman lagi. Zaid mengangguk.
"Esok kalau tak okay juga, kita ke klinik ya?" pujuk Zaid. Iman mengangguk. Kalau esok dia tak larat lagi, asyik muntah-muntah macam hari ini, memanglah esok dia akan ke klinik.
"Apasal muka kau pucat je ni? Kau tak sihat?" tegur Badlisya sebaik saja dia melangkah masuk ke pejabat. Dia sekadar mengangguk lemah.
"Aku rasa letih je la dua tiga menjak ni."
"Banyak kerja sangat ke? Itulah kau, kalau buat kerja tak ingat dunia." Tegur Nurul Badlisya. Iman tersenyum lemah.
"Taklah. Aku tak rasa sebab tu... Mungkin aku ada tersalah makan agaknya."
Menggeleng. "Jagalah kesihatan sikit... Kau ni..."
"Tengoklah. Ni kalau tak sihat lagi. Balik karang memang sah aku ajak Zaid ke hospi..." belum sempat dia menghabiskan kata, tiba-tiba saja pandangannya rasa berbalam-balam. Kakinya terasa lemah. Dia cuba mencapai tepi kabinet di pantry, tapi pegangannya tak kuat. Yang dia nampak, kelilingnya hitam.
"Sayang... sayang..." Panggilan suara itu antara dengar dengan tidak. Matanya rasa berat sekali nak dibuka. Terasa pipinya ditampar-tampar lembut.
"Sayang... bangun..." perlahan seruan itu kedengaran. Iman membuka mata perlahan-lahan. Perkara pertama yang dilihatnya, senyuman suaminya. Selain siling berwarna putih.
"Kenapa dengan Iman?" soalnya perlahan sambil cuba bangun untuk duduk. Zaid tersenyum.
"Iman pengsan tadi. Collegue Iman bawa ke hospital..."
"Lah... Iman pengsan? Tadi rasa macam kelam je. Tak sedar apa-apa." Gumam Iman sendiri. Zaid tersenyum. Jemari Iman ditaut dalam jemarinya.
"Lepas ni, abang kena jaga Iman betul-betul..."
Mendengar kata Zaid, Iman mengerutkan dahi. "Merepek apa abang ni. Iman bukannya sakit."
Zaid tersenyum. "Siapa cakap Iman tak sakit? Iman memang tengah sakit pun sekarang. Sakit terkena penyakit buatan orang." Ujar Zaid masih lagi dengan senyuman yang menggulum di bibir.
Iman terdiam. Otaknya berkerja keras untuk mencerna setiap patah perkataan yang keluar dari bibir suaminya. Mengandung? Aku mengandung? Desisnya sendiri. Memandang dalam ke mata Zaid. Iman bertanya, "Iman mengandung?"
Zaid mengangguk. "Sebulan." Jawab Zaid sambil tersengih.
Iman terkedu. "Iman mengandung?" soalnya lagi. Mahukan kepastian. Sekali lagi Zaid mengangguk.
"Iya... one month pregnancy." Jawab Zaid sekali lagi.
"Betul?" soal Iman. Zaid mengangguk laju. Pantas saja Iman memeluk Zaid. Kejap dan lama.
"Lepas ni, abang jadi doctor in the house... Iman kena ikut apa abang cakap."
Iman ketawa kecil sebelum mengangguk. "Okay..." jawabnya ringkas. Zaid tersenyum.
Ketika berita itu disampaikan kepada semua, habis riuh rendah satu rumah. Satu kejutan pula jadinya bila sanak saudara sebelah dia dan Zaid berkumpul di rumahnya.
"Amani tak sedar ke Amani mengandung?" tanya mama. Iman menggeleng sambil tersengih. Mama melopong.
"Bertuah punya budak. Ini mesti buat kerja kuat sangat ni." Bebel mama. Angah dan Along sekadar menjadi pemerhati. Suaminya Zaid ceria habislah sepanjang hari itu. Agak-agaknya senyuman di bibir suaminya tak pernah surut.
"Kalau dia tak pengsan kat pejabat tu, agaknya sampai sekarang ni pun tak tahulah agaknya ma.."
Mendengar saja kata-kata Zaid, mama menggeleng. Along dan Angah ketawa. "Mau taknya, adik ni Harrith, dia bukannya mau nak ke klinik jumpa doktor. Takut sangat dia dengan doktor. Agaknya, kalau bukan sebab dia pengsan... tak masuk dah dia kat dalam hospital tu."
"Ada pula. Along dengan Angah ni, pandai-pandai je tau."
"Pandai tak pandai, lepas ni Amani dah kena rajin ke klinik. Supplement untuk baby tu perlu. Nak pastikan baby dalam kandungan tu sihat." Ujar mama.
"Sudahlah tu awak... Menantu saya ni, penat lagi. Kesian kat dia, kena dengar syarahan kiri dan kanan." Sampuk mama mertuanya. Iman tersenyum. Mama menggeleng.
"Akak jangan manjakan sangat si Amani ni. Naik lemak dia karang. Dia ni, kalau bab ubat-ubat ni, kena paksa. Kalau tidak, ampunlah dia nak makan ubat atau apa-apa supplement."
Mama mertuanya tertawa. "Tak apa, biar saya saja yang jaga menantu saya ni. Nanti saya ingatkan dia untuk ambil semua supplement yang ada. Tak pun, apa guna ada menantu awak ni ha.. kalau isteri sendiri pun dia tak boleh jaga."
Iman dan Zaid sekadar tersenyum mendengar ahli keluarga mereka berbual sesama sendiri. Setelah dua tahun lebih mereka berkahwin, akhirnya ada juga rezeki mereka untuk memiliki cahaya mata sendiri.
--------------------------------------------------------------
Ini mungkin preview KSL. Mungkin juga, diya masukkan kerana KSL cuba diya tulis kembali. Apa pun, buat semua... sedutan untuk mengembalikan kenangan KSL pada anda.
Buat sesiapa yang masih tak dapat memiliki novel Naqiah Khalida, dan mahu membeli Naqiah Khalida, boleh hubungi diya di nadd19_02[at]yahoo[dot]com
just for you Permalink






