Thursday, August 28, 2008
KSL II - Bahagian 4


Hampir dua minggu sibuk mengejar dateline, hampir dua minggu juga tidurnya tak tentu masa. Ada saja yang menganggu. Kalau nasib baik, dia dan suami sempat berbual-bual. Kalau tidak, sama ada dia tidur dulu atau pun Zaid yang tidur dulu.

Tapi selalunya, dia yang tidur dulu dengan puratanya dia akan diangkat suaminya untuk masuk tidur di dalam bilik tidur mereka. Dan hampir sepanjang minggu itu dia akan menerima teguran daripada suaminya dalam apa cara sekali pun!



“Lepas ni tolongla.. tidur dlm bilik! Jgn nak tidur bertongkat lengan atas     meja.. tak elok utk postur tubuh!”

“Sakit lengan abg :( Tiap-tiap mlm kena angkat syg.. takut kalau biarkan     bangun pagi2 syg sakit badan :(”



Setiap kali, kalau dia tertidur di dalam bilik kerjanya, itu yang akan terjadi. Dan Zaid tidak akan pernah jemu menghantar teks mesej padanya.

Hari itu kebetulan kerjanya sudah selesai. Pelannya sudah pun disubmit dan mendapat kelulusan. Dia benar-benar lega...

Dan malam ini, dia dapat menghabiskan masa di rumah dan menonton bersama-sama dengan suami kesayangannya.

Ketika keluar dari bilik mandi, dilihatnya Zaid tertidur di atas katil. Iman menggeleng. Tersenyum.

Pantas memanjat perlahan ke atas katil, agar tidur suaminya tidak terganggu, Iman mencari sesuatu yang boleh menggugat tidur suaminya. Toleh ke kiri, toleh ke kanan. Dia tersenyum.

Kapas mukanya di ambil, dilipat kecil agar tajam dihujung. Perlahan hujung kapas muka yang dilipat itu ditalakan ke telinga suaminya. Hampir saja dia tertawa kuat melihat tangan suaminya tergawang-gawang ke telinga.

Melihat suaminya kembali nyenyak, sekali lagi Iman melayangkan kapas muka ke telinga suaminya perlahan-lahan.

“Hah!” sergah suaminya kuat. “Mak!!!!” jerit Iman hampir tertiarap ke bawah katil gara-gara terkejut andai Zaid tidak menyambarnya.

Zaid tersengih. Iman mula menarik muka masam. “Teruk la abang ni! Nyaris Iman jatuh katil.”

“Siapa suruh kacau abang tidur.. Ada abang suruh?”

Iman tersengih. “Siapa suruh tidur busuk-busuk macam ni. Balik-balik kerja terus baring atas katil. Orang mandi la dulu... lepas tu sembahyang ke apa ke... Ini tak.. terus je tidur.”

“Mana ada tidur... Abang baru nak lelap-lelap je la...” tingkas Zaid. Iman menggeleng.

“Iya la sangat baru nak lelap-lelap! Macamlah Iman tak nampak yang abang siap dah berdengkur...”

“Mana ada abang berdengkur!” tingkah Zaid sambil menarik Iman ke dalam pelukkan. Iman pantas saja cuba menggelak tapi tindakan Zaid lebih pantas membawakan Iman ke dalam pelukkannya.

“Busuk la abang....” protes Iman. Zaid tersengih.

“Busuk ya? Meh abang busukkan Iman sama...” ujar Zaid sambil terus menghadiahkan ciuman yang bertubi-tubi ke pipi Iman. Kiri, kanan, kiri, kanan, kiri, kanan... lagi.. lagi.. dan lagi...

“Aaaa!!! Busuk!!” jerit Iman kecil sambil tangan-tangannya menumbuk-numbuk dada Zaid perlahan, mahu merenggangkan pelukkan suaminya. Zaid sekadar tertawa.

“Okay apa... Kalau dah busuk, karang Iman join abang mandi. Nanti wangi lah balik.” Balas Zaid sambil mengenyitkan mata.

“Abang ni!” protes Iman sambil jemarinya cepat saja naik ke pipi Zaid. Pipi suaminya itu ditariknya geram.

“Eeeee....” getusnya.

“Sakit abang! Adeh..! Sakitla sayang...” ujar Zaid sambil melepaskan pelukkannya. Tangannya pantas saja menyambar tangan Iman. Dileraikan pegangan jemari Iman dari memegang daging pipinya.

“Ya Allah... Bisanya jari dia.”

“Berdosa tau buat suami macam tu!” ujar Zaid geram. Iman buat muka. Menjelirkan lidah pada suaminya. Zaid menggeleng sambil tertawa sebelum pantas mengucup bibir isterinya.

Iman mula menjegilkan mata. Geram! Haru betul dengan suaminya yang seorang ini. Suka sangat menyakat!

“Pergilah mandi! Busuklah abang ni!”

Zaid tersengih. Perlahan bangun dari katil, mengambil tuala yang bersangkut di tempat letak tuala. “Kejap ya...” ujarnya sebelum melangkah. Iman menggangguk.

Siap berpakaian, dan menunaikan solat maghrib dia melangkah turun ke bawah. Di lihat Iman sedang sibuk menyiapkan makan malam.

“Sayang masak apa?”

“Kailan ikan masin, ikan goreng, pekasam dengan tauge masak lemak. Cukup ke?”

“Lebih dari cukup... Nak bagi abang gemuk ke apa? Perut abang ni pun dah macam perut perempuan mengandung ni haa...” balas Zaid sambil mengusap-usap perutnya. Iman sekadar tersenyum sebelum kembali sibuk menghidangkan makanan.

Seperti selalu, air tangan Iman memang menyelerakan. Dua pinggan nasi ditambah. Kalau bukan ditegur Iman, silap-silap mahu ditambahnya lagi.

Siap mengemas dapur, dia dan Iman terdampar di ruang tamu. Menonton berita arus perdana.

“Sayang... weekend ni, kita tak balik rumah mama-mama kita tau...” ujar Zaid sambil matanya tekun menonton paparan di kaca tv.

Iman yang mendengar pantas menoleh. “Kenapa? Kita nak pergi mana-mana ke? Ke duduk rumah je?”

“Duduk rumah pun okay juga apa... Kata nak kena ‘kerja kuat’ sikit. Kalau balik rumah mama sayang, rumah mama abang pun... tak bestlah. Nak ‘berkerja kuat’ pun macam tak sedap je.”

“Kerja kuat?” soal Iman. Zaid tersengih.

Aik... semacam je sengih dia! Nakal punya raut je...

Hah! “Mengada!” gerutu Iman geram sambil jemarinya turut pantas menyepit isi peha Zaid.

“Aduh! Sakit la sayang...” ujar Zaid sambil tangannya pantas menyapu-nyapu peha. Uhu... sejak bila la isteri kesayangannya ini berguru dengan ketam. Sikit-sikit nak mencubit.. sikit-sikit mencubit...

“Itu pun nak cubit ke..? Nasib baik bukan tengah pregnant . Kalau tengah pregnant alamatnya anak tu keluar nanti, asyik nak mencubit je la kerjanya...”

“Abang tu yang gatal sangat, kenapanya?”

“Larh... kalau abang gatal pun dengan Iman. Bukan dengan perempuan lain. Ke Iman lagi suka, kalau abang menggatal dengan perempuan lain?”

Diam. Suasana hening menguasai keadaan. Masing-masing tidak bersuara. Zaid kembali menfokuskan pandangannya ke kaca televisyen. Tangannya yang tadinya dirangkul ke bahu Iman, perlahan diangkat.

Sebak!

Bila Zaid cakap begitu, dia benar-benar terasa hingga ke ulu hati. Diakah yang salah atau suaminyakah yang terlalu sensitif?

Dipandang suaminya dari ekor mata..

Suaminya masih mendiamkan diri. Langsung tidak menoleh ke arahnya. Perlahan dijatuhkan kepalanya ke atas bahu suaminya, suaminya masih juga tidak bereaksi. Dingin!

    Selalunya, kalau dia menjatuhkan kepala ke atas bahu suaminya, pasti saja lengan suami akan melingkari bahunya. Jemari suaminya akan mengusap-usap rambutnya. Tapi tadi, tangan suaminya masih statik dipeha.

Terasa sendiri. Dia kembali membetulkan postur duduk. Bersandar di sofa kembali. Sesekali dari ekor mata, dia cuba melihat reaksi suami.

Salah ke dia? Salah cakap ke dia?

Tamat saja berita, perlahan suaminya bangun. Melangkah ke bilik. Dia diam. Terkaku dengan reaksi dingin suami. Rasa bersalah menguasai diri.

Mungkin dia tersalah menggunakan bahasa ketika bertutur tadi. Mungkin juga...

Iman memejamkan mata. Kepala disandarkan ke sofa. Dia rasa seperti mahu menangis sekarang. Betul-betul seperti mahu menangis...

Kalau dulu Zaid begitu, mungkin dia tak kisah. Tapi sekarang, dia kisah! Setelah kembali berbaik, dia dilayan bagaikan puteri oleh suaminya. Dibelai bagai minyak yang penuh!

Masuk ke bilik, dilihat suaminya sedang membaca buku di atas katil. Mengambil wuduk, mengerjakan solat. Dia kemudiannya terus memanjat katil, menarik selimut menyertai suaminya. Zaid masih lagi diam.

“Abang...” serunya perlahan.

Zaid masih lagi beku! Pandangan matanya masih lagi pada arah buku.

“Kalau Iman salah... Iman minta maaf...” ujarnya perlahan sambil jemarinya meraih jemari suami. Dikucup lembut jemari suaminya.

Sedikit tersentak bila Zaid menarik jemarinya dari dalam pegangan. “Abang...” serunya lagi.

Suasana dingin. Sebak!

“Dah.. abang mengantuk. Kalau nak tidur nanti Iman tutup lampu tu.” Serius nada suara Zaid. Iman sekadar memandang suaminya menutup buku. Menepuk-nepuk bantal sebelum menutup lampu tidur disisinya, dan berbaring.

Terkaku dia saat itu!

Suaminya amat-amat dingin! Untuk seketika, dia benar-benar merasa tidak dipedulikan. Untuk seketika, dia benar-benar terasa bahang ‘kemarahan’ yang dipendam suaminya.

Dia lagi suka kalau Zaid memarahinya daripada diam begini. Dia lagi suka kalau Zaid melemparkan kata-kata sinis daripada diam begini.

Diam begini menyeksa batinnya!

Dia begini membuatkan dia tidak betah!

Menutup lampu tidur di sisi. Iman berbaring. Menarik selimut hingga ke dada. Mengiring ke kanan mengadap Zaid yang membelakanginya. Perlahan jemarinya melingkari pinggang suami, dipeluk erat pinggang suaminya.

“Iman minta maaf...” ujarnya perlahan.


*************


KSL II - Bahagian 5


“Abang...breakfast?”

Terhenti di anak tangga yang terakhir. Zaid hanya diam. Ke ruang tamu meletakkan beg, kemudian terus saja kembali ke ruang makan. Menarik kerusi dan duduk.

Nasi goreng yang diceduk isterinya, dijamah sedikit sebelum menghirup teh o panas di dalam cawan. Masing-masing masih lagi diam. Iman langsung tidak lalu menjamah makanan. Tekak rasa berpasir.

Tak betah rasanya berada dalam keadaan begini. Dah lama tak dilayan begini oleh oleh suaminya.

Menghabiskan degukkan-degukkan terakhir di dalam cawan. Zaid bingkas bangun. Membawa piring dan cawannya ke dapur untuk dibersihkan.

“Tinggal je bang...” ujar Iman. Sambil menahan Zaid dari membasuh bekas makanannya.

Zaid diam. Tangannya ditarik dari pegangan Iman. Sabun dan span pencuci terus saja digosok pada cawan dan pinggan. Iman terkedu! Elok saja Zaid selesai, dia membuntuti Zaid ke ruang tamu. Sebaik saja suaminya melangkah untuk keluar, Iman lebih dahulu menghalang.

“Salam...” ujarnya perlahan.

Tengok tu... salam kita pun tak nak. Ni sah betul-betul marah ni...   

Mendengar permintaan Iman. Zaid menghulurkan tangan. Pantas tangan itu diraih dan dikucupnya.

“Morning kisses Iman??” soalnya bila Zaid seolah-olah terlupa untuk mengucup pipi dan dahinya seperti selalu. Walhal itu rutin kehidupan mereka. Zaid tak pernah lupa untuk mengucup pipi dan dahinya sebelum ke tempat kerja. Tapi hari ini?

Zaid berpatah balik dari melangkah. Perlahan, bibirnya mengucup dahi dan pipi isterinya. Sebelum kembali melangkah keluar. Iman sekadar memerhati suaminya mengundurkan kereta. Dilambaikan tangan seperti selalu. Tapi kali ini, jangankan bunyi hon... nak lambaikan tangan balik pun tak!

Selalu, bila nak keluar rumah untuk ke tempat kerja, pasti saja ciuman di pagi-pagi hari itu wajib. Tapi hari ini suaminya seolah-olah lupa.

Selalu, sebelum melangkah keluar, pasti ada banyak soalan yang akan ditanya suaminya.

   
“Sayang balik jam berapa hari ini? Awal ke lambat?”

“Petang ni masak tak?”

“Drive carefully ya sayang...”

“Abang pergi dulu.... Love you sayang...”

   
Tapi hari ini, satu soalan pun tak keluar. Dari pagi lagi, suaminya diam. Tak banyak cakap. Besar sangat ke salah dia pada suaminya? Besar sangat ke?




“Apasal kau hari ini? Monyok je?” soalan Badlisya mengejutkannya dari terus-terusan mencari salahnya.


“Tak ada apa...” jawabnya malas!

“Tak ada apa? Kau bergaduh dengan Zaid ya?”

Mengeluh. Bergaduh ke tu? Atau suaminya itu marah dengannya? “Iman... aku cakap dengan kaulah!” tegur Badlisya sambil jarinya dibunyikan di depan matanya.

“Sorry... Tak ada apa..”

“Tak ada apa? Mustahil lah! Kau tu mana pernahnya tak ada apa muka cemberut macam ni. Dulu kalau muka kau macam ni, kau dengan Zaid mesti bergaduh besar. Ini kes apa pula?”

Mengeluh. “Entahlah...”

Badlisya terdiam. Berfikir. “Okay... aku tahu, hal rumah tangga, tu hal peribadi. Tak elok cerita dengan orang luar. Tapi at least kalau kau rasa terbeban... ceritalah. Mana tahu aku boleh tolong? Bagi advice ke apa ke?”

“Entahlah... Aku pun tak faham.”

“Tiba-tiba je dia dingin dengan aku semalam.” Luahnya perlahan. Badlisya mengerutkan dahi.

“Merepeklah kau... Dia sikit punya loving and caring dengan kau. Kau boleh cakap dia dingin...”

“Itulah aku tak faham. Semalam dalam bergurau-gurau dengan aku tiba-tiba je dia jadi moody macam tu. Aku minta maaf pun dibuatnya derk dengan aku.”

Badlisya diam. “Kau cakap apa dengan dia?”

Semua yang berlaku semalam diceritakan pada Badlisya. Dia tahu Badlisya amat memahaminya. Badlisya orang yang boleh dipercayai. Memangnya kalau boleh dia tak mahu sesiapa tahu tentang perselisihan kecil semalam.

Tapi sikap membisu suaminya membuatkan dia tak betah! Membuatkan dia rasa bersalah! Rasa terhukum!

“Owh... itu...”

“Kau ni pun satulah Iman... Kau pun cakap yang dia baru balik dari Sarawak dua minggu lepas. Dah la sebulan kat sana. Balik-balik sini, kau pula busy setengah mampus. Masa korang tak ada. Semalam bila kau dah mula free mestilah dia nak manja-manja dengan kau. Yang kau tu pula asyik dingin memanjang je...” bebel Badlisya.

Dia terkedu. “Sebab tu je?” Soalnya sendiri.

“Kau ingat, orang perempuan je ke yang tau nak manja-manja? Husband kita ni tak tahu nak manja-manja? Tak tahu nak tagih perhatian dari isteri?”

Iman diam. Lama dia berfikir kebenaran kata-kata Badlisya. Mengeluh. “Aku penat sangat kot... Itu yang mood aku tak okay...”

“Bukan penat sangat. Kau ambil mudah... Kau cakap pakai ikut sedap hati kau je... Penat pun janganlah lepas kat suami kau.”

“Bukan setiap kali Zaid gurau-gurau dengan kau, setiap kali tu kau dingin ke? Buat balik perangai singa betina kau...”

Iman diam. “Mana ada...”

Badlisya menggeleng. “Sudah-sudahlah tu... Sesekali cubalah faham Zaid tu macam mana. Dia tu kan ke jenis suka mengusik. Mengusik dia tu, bukan mengusik saja-saja. Mengusik berisi.”

“Dah tu... Aku nak buat macam mana?”

“Macam mana lagi? Minta maaflah...”

Termanggu. Ingat senang ke nak minta maaf kat Zaid tu? Semalam jenuh dia minta maaf, boleh dia buat derk je. Macam tak dengar.

Masa dia labuhkan kepalanya atas bahu Zaid tu pun, boleh je suaminya tu buat derk. Tak manja-manjakan dia macam selalu. Betul lah suaminya ni dah tahap kronik! Tahap marah yang sangat-sangat.

“Sya... aku rasa hari ini aku nak ambil halfday leave la...”

“Apasal?”

“Nak selesaikan masalah negara. Tak bolehlah aku kalau Zaid buat perangai macam tu. Aku tak selesa. Rasa bersalah.” Ujarnya terus-terang. Badlisya tertawa.

“Baru padan dengan muka kau. Kau ni, aku tengok bila dah start serious dengan kerja, laki kau tu pun kau buat endah tak endah. Yang dia tu bukan main sayangkan kau.”

Iman sekadar menarik senyum. Dia sedar. Memang salah dia pun! Tapi projek tu memang projek penting. Dia tak nak buat sambil lewa. Tapi silapnya, dia bawa urusan kerja ke rumah.

Bukannya dia tak tahu. Kehidupan berumahtangganya dengan Zaid bukannya serupa rumah tangga orang lain. Mereka berdua sama-sama sibuk. Kalau nasib baik, Zaid tak perlu keluar offshore dan hanya standby di pejabat, dapatlah mereka berjumpa kerap. Tapi, kalau Zaid perlu ke site untuk buat inspection, alamatnya... jarang-jaranglah dapat bersama.

“Abang minta maaf... kerja abang macam ni, jarang dapat spend masa dengan sayang. Tapi once abang ada kat rumah, abang akan try bagi fully attention kat Iman.”

Mengeluh. Dulu dia juga yang asyik merungut pada Zaid bila kerap ditinggal-tinggalkan. Dia sunyi.

Tapi bila Zaid ada di rumah, dia pula buat hal. Memang salah dia pun. Patutnya hal kerja tak boleh bawa balik ke rumah. Macam mana penat pun di tempat kerja, tak boleh dilepaskan di rumah. Itu memang silap dia.

Mendapatkan pelepasan daripada pegawai atasan, Iman terus pulang ke rumah. Sebelum itu dia terus saja menghubungi suaminya.

“Abang balik cepat ya hari ini? Kalau dapat ambil halfday...ambil ya? Please...

“Kenapa?”

“Kalau tak boleh tak apalah...” ujarnya sebelum meletakkan telefon. Sengaja soalan suaminya tidak dijawab. Selalunya kalau dia buat-buat suara begitu, memang pun taktiknya menjadi. Tapi kali ini, tak tahulah.

Tak pernah lagi dia minta suaminya mengambil cuti separuh hari.

Melihat pakaian yang siap dimasukkan ke dalam beg. Dia tersenyum. Tinggal suaminya balik saja lagi. Kalau suaminya setuju, hujung minggu ini mereka habiskan masa bersama di Cameron Highland.

Tadi, dia dah buat tempahan hotel di sana. Sekarang cuma perlu tunggu Zaid pulang saja lagi. Tersenyum.

*************

Salam...

Ok, ini KSL II yang terakhir di blog. Terima kasih atas kesudian anda untuk vote di ruangan poll di bawah. Dan buat yang memberikan pandangan di ruangan pandangan. Terima kasih juga diya ucapkan.

* Kemungkinan untuk tidak menyambung kisah-kisah yang ada di blog ini barangkali terjadi.

* Kemungkinan blog ini akan ditutup terus juga barangkali ada. Apa pun selamat membaca KSL II yang terakhir.




 
posted by diyanordin at Thursday, August 28, 2008 Thursday, August 28, 2008 |

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry
Next Entry
Home