Entry: KSL RAYA II Thursday, October 02, 2008



Laju saja ayam yang dipotong dadu tadi dicincang-cincang halus. Sesekali matanya mengerling memandang suami yang sedang sibuk mengayak tepung.

"Abang... kotor la... bersepah habis. Abang ayak tepung ke, main tepung?" omel Iman geram. Zaid tersenyum.

"Alah... renyahla..."

Menggeleng Iman mendengar jawapan suaminya. "Mana ada renyah. Yang abang pergi ayak tepung depan kipas tu buat apa? Merugikan tepung tu je... entah-entah dah lari sukatan dia."

Tersengih. "Eh.. ye ke? Padanlah tak rasa panas pun."

"Dahlah... abang pergilah main jauh-jauh. Biar Iman yang buat sendiri. Karang daripada dapat dua adunan, terus jadi satu adunan." Ujar Iman sambil meletakkan ayam yang siap dicincang di dalam pinggan. Pantas saja dia menuju ke sinki membasuh tangan sebelum menolak Zaid keluar dari dapur.

"Eh.. apa tolak-tolak abang ni... Abang nak tolonglah..."

"Tolong apa, ini bukan tolong melajukan kerja.. melambatkan kerja lagi adalah.."

"Ada ke.. tak baik tau cakap dengan suami macam tu. Berdosa..."

Geram betul dia mendengar jawapan yang keluar dari mulut suami kesayangannya. Pandangan matanya terfokus ke wajah suami. Bibirnya mula diketapkan. Pantas saja dia menapak ke depan. Pipi suaminya di tarik geram.

"Eeeeeeeee......"

"Aduh!!!! Sakit!! Sakit!! Sakit la sayang!!!" jerit Zaid sambil cuba menepis tangan isterinya.

"Degil!" getus Iman geram. Zaid tersengih. Pipinya masih lagi sengal menahan bisa di pipi.

"Okay... abang tak kacau. Abang tengok saja, ya?"

"Tengok saja tau..." ujar Iman mengingatkan. Zaid pantas saja menggangguk sambil memanjat kerusi di depan monkey bar. Tangannya didopangkan ke pipi. Iman tersenyum melihat suaminya sudah sedikit menjauh.

Kembali melangkah ke ruang dapur. Mentega yang disukat tadi segera di panaskan di dalam kuali sebelum memasukkan ayam yang sudah siap dicincang lumat, cendawan butang yang sudah dipotong halus, bawang yang sudah dirincik-rincik. Bahan-bahan yang sudah siap dipotong dadu tadi, pantas saja dituang ke dalam kuali.

"Sesudu kecil gula... sedikit lada putih..." Iman bercakap sendiri sambil matanya memandang resepi yang bertulis tangan di dalam fail. Zaid sekadar tersenyum melihat telatah isterinya.

Pantas saja Iman berkerja, tanpa gangguan suami. Sambil memasak inti untuk Chicken Flank, dia menyiapkan doh untuk dua adunan. Bunyi mesin tepung bergema memenuhi ruang dapur. Sesekali Iman berpaling memandang suaminya. Zaid tersenyum.

"Nak abang tolong?" soal Zaid menghulurkan bantuan. Pantas saja Iman menggeleng sambil mengoyang-goyangkan tangannya ke kiri dan ke kanan. "Tak mo.."

Zaid tersengih. "Sombong ya dia..."

"Lambat lagi ke sayang nak siap?"

Iman memanggungkan kepala. Dahinya berkerut. "Apasal?"

"Laparlah... teringin nak rasa."

"Mengarutlah abang! Puasa ni kan..."

Tersengih. "Siapa suruh Iman masak sedap-sedap macam ni siang-siang. Kan abang dah lapar..."

"Ada ke... Dah.. dah... Abang jangan duduk kat dapur. Bahaya... karang abang curi makan..."

"Ada ke macam tu. Tak adalah sampai curi makan."

"Iman ingat, iman abang ni singkat sangat ke?"

Tersenyum Iman mendengar soalan suaminya. Tapi dia langsung tak menjawab. Membiarkan saja suaminya membebel sendiri.

"Iman abang ni, makin tebal tau.. sebab dapat isteri pun nama Iman..."

Ketawa dia mendengar lelucon suaminya. "Tak munasabah langsung!"

"Berapa lama kena tunggu ni?"

"1 jam."

"Lamanya... lepas tu?"

"1 jam tu, tempoh masa paling pendek untuk perapkan doh dengan inti ni. Nak lama lagi pun boleh..."

"Haa??"

"Sementara tu kita nak buat apa?" soal Zaid sambil menggaru kepala.

"Kemas dapur... lepas tu tunggu la dia masak..."

"Tu je?"

Iman menggangguk.

"Okay.. jom abang tolong Iman kemas dapur. Kemudian kita tonton tv sama-sama. Karang oven ni bunyi je kan kalau dah masak?"

Menggangguk.

"Okay... jom!" ujar Zaid pantas turun dari bangku. Menolong Iman mengemas dapur sementara isterinya sibuk memasukkan doh ke dalam bekas tart dan inti chicken flank ke dalam tupperware.

"Dah siap?"

Iman berpaling dan tersenyum. "Dah.. kejap, Iman nak masukkan semua ni kat dalam fridge."

Zaid sekadar mengangguk. Memandang isterinya menyusun dua bekas tart yang diletak doh tadi di dalam peti ais dan inti ayam. "Jom..." ajak Iman. Zaid tersenyum. Berjalan mendahului isterinya ke ruang tamu.

Remotre control diambil, televisyen di ‘on’ kan.

"Berbuka hari ni, sayang nak masak apa?" soal Zaid pendek sambil matanya memandang Iman.

"Tak tahu lagi. Abang nak makan apa?"

"Buat yang simple-simple dah la sayang..."

"Simple-simple tu macam mana?"

"Apa-apa je la..janji bukan heavy."

"Abang..." panggil Iman lembut. Zaid menoleh. Mengangkat kening.

Iman tersengih.

Kembali memandang kaca televisyen. Kusyuk. "Abang..." panggil Iman lagi.

"Erm..." balas Zaid. Kali ini malas mahu menoleh memandang Iman.

"Kita beraya di mana tahun ni?"

Zaid menahan senyum. Dah agak dah... tu yang isterinya tadi macam teragak-agak nak bercakap tu masa dia menoleh tadi.

"Kenapa?"

"Tak ada... saja je, Iman tanya..."

"Oooh..."

Kembali fokus ke tayangan gambar di kaca tv. Melihat gaya Zaid, Iman naik geram. Boleh je dia buat endah tak endah... uhu

Takkanlah mereka berdua nak makan Chicken Flank tu. Maunya bila nak habis? Dua adunan tu, tak mampu mereka nak habiskan. Cadangnya, buat dua adunan... nak bawa balik ke rumah mamanya satu, ke rumah mama Zaid satu.

Tapi ni - ?

Nampak gayanya, makan sendirilah. Geram betul! Gaya macam tak nak balik raya kampung je...

Tak nak rasa sambut malam raya dengan kaum keluarga ke? Takkan nak sambut berdua je kot? Tak meriah langsung!

Sejam di depan tv. Dia tak tahu apa yang dipandangnya. Terasa seolah-olah dia tak menonton apa-apa. Otaknya rasa tepu. Matanya rasa kelabu. Frust tak dapat balik raya, agaknya?

"Sayang... dah dekat dua jam... Chicken Flank tu jadi Chicken Flank je ke?" tegur Zaid. Iman tersentak.

"Haa?"

"Chicken Flank tu... jadi chicken flank je ke?"

"Owh.. itu?"

"Iman ke dapur dulu eh bang..."

Menggeleng. "Sayang kenapa?"

"Tak ada apa... letih agaknya..."

Zaid menggangguk. "Pergilah siapkan."

Melangkah ke dapur. Mengeluarkan bahan-bahan yang diperapkan di dalam peti sejuk. Dia mengeluh sendiri.

"Siapa nak makan semua ni?"

Mengeluh sambil tangannya sibuk memecahkan lapan biji telur dicampur dengan susu cair. Inti chicken flank tadi dimasukkan ke dalam telur yang sudah dipecahkan dengan susu cair tadi.

"Baru ingat nak bagi mama rasa..." keluhnya perlahan.

Termenung di dapur menantikan Chicken Flank siap di masak. Sesekali matanya tajam mengadap Oven.

"Sayang buat apa?"

Photobucket - Video and Image Hosting

"Tak buat apa... tunggu chicken flank masak." Jawab Iman lemah.

"La... Kan ke sayang dah set timing dia? Lambat lagi tu nak masak..."

"Tahu... abang nak makan apa berbuka ni? Boleh Iman siapkan bahan-bahan dia."

"Tak payah buat apa-apa. Abang dah call mama tadi. Cakap kita berbuka kat rumah mama..."

Terkejut. Pantas saja memanggungkan kepala. Betul ke apa yang dia dengar tadi tu?

"Apa bang?" soalnya sekali lagi.

"Pergilah siapkan baju. Kita berbuka di rumah mama je malam ni. Esok pagi senang nak pergi sembahyang raya ramai-ramai. Nur Aiman dah bising-bising panggil ucu. Rindu sangat dengan Iman agaknya."

"Eh?"

"Cepatlah... Abang cakap dengan mama tadi, lepas Iman siap baking Chicken Flank kita gerak."

"Oh..okay..." ujar Iman. Menonong saja dia bangun menuju ke bilik. Dalam pada tu, sempat dia menangkap gaya senyuman suaminya yang semacam je.

Sukalah tu! Kenakan orang!

Ingatkan tadi, tak nak balik rumah mama... Geram betul! Balik juga rupanya dia...

 

"Mama tau tak... tadi ada orang tu merajuk..." ujar Zaid dalam mengulum senyum.

"Iya? Kenapa?"

"Dia ingat...kita tak nak balik raya agaknya..."

Iman memandang suaminya tajam. Pantas saja dia menjeling. Zaid tertawa. "Nur Aiman.. jangan jadi macam Ucu tak.. kuat merajuk! Jenuh Pak Usu nak pujuk."

"Abang ni.." ujar Iman perlahan. Memalukan betul! Habis satu rumah ketawa dengar apa yang suaminya cakap.

"Sabarlah Iman.. Zaid ni memang macam ni. Nakal!Kuat mengusik."

"Mari mama tengok, apa yang Iman bawa?"

"Bawa Chicken Flank je ma.."

Photobucket - Video and Image Hosting

"Sedap tu..." ujar mama seraya menatang bekas Chicken Flank ke dapur. Zaid tersenyum. Perlahan menghampiri Iman.

"Tak comel la, Iman tarik muka masam..."

Iman menolehkan kepalanya memandang Zaid yang berdiri di belakangnya. "Mana ada Iman tarik muka masam."

"Ada... meh abang nak maniskan sikit.."

Iman mengerutkan dahi.

Cupp!! Cupp!!

Terkedu. Nurul Aiman tertawa terbahak-bahak. Zaid tersengih sebelum mengangkat Nurul Aiman.

"Aiman suka yang tengok Pak Usu cium Ucu?"

"Nak Pak Usu cium lagi?"

"Abang...." ujar Iman sepatah. Memberikan amaran. Apatah lagi bila perasan kelibat Kak Raudhah dan Abang Bakhtiar yang ketawa. Barangkali ternampak insiden tadi. Ish!!! Malunya... mana nak letak muka ni!

---- KSL RAYA ---

Selamat hari raya Aidilfitri buat semua. Semoga lebaran ini menjadi penuh bermakna buat semua. Entry pendek KSL raya buat anda semua yang tak pernah lupa pada Iman-Zaid. Doakan diya berjaya menghabiskan KSL yang diya edit secepat mungkin. Dikesempatan ini diya ingin memohon maaf andai ada salah dan silap dengan semua. Salam sayang dari utara.

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments